Friday, January 1, 2016

Perutusan Tahun Baru 2016


Assalamu’alaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdullilah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita masih dipanjang umur dan dapat menyaksikan labuhnya tirai tahun 2015 serta terpancar fajar baru 2016. Tentu sebahagian besar atau mungkin kesemua azam kita tahun 2015 telah dimakbulkan Allah SWT, dan kita melangkah ke tahun 2016 ini dengan azam yang baru.

Tahniah kepada warga KSA yang melangsungkan perkahwinan sepanjang tahun 2015 yang lalu. Baaraka Allahu lakuma wa baaraka alaikuma wa jama’a baina kuma fi khair.

Tahniah juga antara kita yang telah dikurniakan cahayamata. Semoga Allah SWT melindungi zuriat tersebut dan keturunannya dengan peliharaan-Nya, daripada godaan syaitan yang kena rejam, yang dikutuk dan disingkirkan.

Tahniah juga kepada KSA dengan pencapaian yang memberangsangkan dari tahun ke tahun. Tahniah!

Mungkin kita tidak sedar, kebahagian yang kita perolehi atau kejayaan yang kita kecapi dalam perkara-perkara yang disebutkan di atas mempunyai satu elemen yang sama, iaitu “amanah”. Apabila dikaitkan dengan amanah bererti ia akan disoal oleh Allah SWT.

Sabda Baginda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar, katanya: “Saya telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: ‘Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan diminta bertanggungjawab atas kepemimpinannya. Seorang ketua negara akan diminta bertanggungjawab perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri yang mengurus rumah tangga akan ditanya perihal tanggungjawab dan tugasnya. Bahkan seorang pembantu atau pekerja yang bertugas memelihara barangan milik majikannya juga akan ditanya perihal yang dipimpinnya. Dan kamu sebagai pemimpin akan ditanya (dipertanggungjawab) atas kepemimpinannya’.” (HR Bukhari dan Muslim)

Jadi, marilah kita sama-sama memastikan amanah yang diletakkan atas bahu setiap dari kita itu dilaksanakan sepanjang tahun 2016 ini.

Marilah kita bersama-sama merealisasikan masa depan yang lebih baik untuk profesion tercinta ini, dalam mencari redha Allah SWT. Ia tidak akan menjadi sebuah mimpi sahaja, malahan ia akan berada dalam rangkulan kita jika kita sanggup merancang dengan teliti dan bekerja keras bagi mencapainya. Sesungguhnya hari-hari yang terbaik kita berada di hadapan kita. Selamat tahun Baru 2016.

Terima kasih.
(20 Rabiulawal 1437H bersamaaan 01 Januari 2016.)
Copyright© All Rights Reserved Tetuan Khairul Sofian Anuar co